Friday, April 25, 2008

Teka teki




Selangor Lancar Sistem Kad Prestasi Bagi Sistem Pelaksanaan Kerajaan Lebih Berkesan

SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) -- Pelancaran Sistem Kad Prestasi (SKP) untuk kakitangan dan pegawai kerajaan Selangor diharap dapat menghentikan kegiatan "pembohongan terancang" dalam pemberian Anugerah Khidmat Cemerlang, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

SKP, yang dilancarkan oleh beliau hari ini, bertujuan mengukur prestasi kerja secara menyeluruh dan memastikan supaya kelemahan-kelemahan sistem pelaksanaan kerajaan dapat dikesan pada punca dengan pantas dan disusuli dengan penambahbaikan.

Khir berkata beliau pernah berasa hairan kenapa ramai sangat pegawai dan kakitangan jabatan tertentu mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang dan mendapati bahawa rupa-rupanya ia dilaksanakan "secara mengikut giliran supaya semua orang merasa walaupun mereka pada hakikatnya tidak cemerlang dalam menjalankan tugas".

"Dengan adanya SKP, siapa yang benar-benar layak diberikan ganjaran, yang akan dapat bukannya mereka yang tidak menjalankan tugas di dalam satu-satu jabatan," kata beliau.

Pelaksanaan sistem SKP itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan sembilan pejabat tanah dan daerah serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum disusuli oleh kesemua 43 jabatan dan badan berkanun yang ada di negeri Selangor menjelang awal tahun depan, katanya.

Di bawah sistem itu, mana-mana jabatan atau PBT yang berjaya melaksanakan tugasan yang diarahkan seperti mengutip cukai tertunggak berjumlah RM100,000 dalam tempoh dua minggu akan diberikan lampu hijau, jika mengambil masa tiga minggu akan diberikan lampu kuning dan jika gagal lampu merah, sementara mereka yang dapat menyelesaikannya dalam tempoh awal daripada dua minggu akan diberikan lampu biru, kata beliau.

Beliau berkata setiap jabatan akan diberikan satu cakera padat mengandungi perisian SKP di mana mereka perlu memasukkan data-data mengenai tugasan yang telah mereka laksanakan seperti yang diarahkan dalam perisian itu yang akan disemak oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud.

Oleh itu, Khir berkata dengan pelaksanaan skim pengukur prestasi itu, mana-mana pegawai yang didapati gagal memenuhi arahan yang dikeluarkan dalam masa yang ditetapkan atau bermasalah akan diambil tindakan seperti menurunkan tangga kerja mereka.

Sebagai contoh, seorang Pembantu Pegawai Daerah akan diberikan tugasan yang dilakukan oleh Ketua Kerani jika beliau didapati gagal menyempurnakan tugasnya kerana kerajaan tidak boleh menurunkan tangga gajinya sebagai hukuman dan terdapat pegawai-pegawai dari PBT yang bermasalah kini dipanggil bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri supaya dapat menyedarkan mereka bahawa perkhidmatan mereka kurang baik, katanya.

Khir juga berharap dengan adanya SKP, para penjawat awam akan lebih kreatif dalam mencari jalan untuk menyelesaikan tugasan mereka dan kerajaan Selangor merancang untuk mengadakan pertandingan inovasi cara bekerja bagi mencari kaedah yang mungkin dijadikan sebagai model cara kerja kepada jabatan-jabatan lain.

Beliau berkata para pegawai kerajaan tidak boleh terlalu "ikut buku" dan mereka perlu bijak menggunakan budi bicara dalam menyelesaikan kerja-kerja mereka.

"Baru-baru ini ada pihak yang terlewat membayar premium tanah bernilai RM2 juta dan apabila ia ingin membayar, tidak diterima oleh kakitangan berkenaan kerana dikatakan sudah lewat sedangkan perkara itu boleh diselesaikan jika mereka ada 'common sense' (budi bicara) kerana hendak mendapat bayaran premium RM2 juta bukan senang dan rakyat juga mempunyai masalah," katanya.

Beliau berkata selain kurang melaksanakan budi bicara, sesetengah penjawat am di Selangor juga kurang kelajuan dalam membuat kerja sedangkan mereka bekerja dalam sebuah negeri yang maju dan serba lengkap.

"Di Selangor segala-gala kita ada ... jalan yang baik ada, kereta yang laju ada tetapi tidak berani bawa laju ... bawa kereta macam bawa beca," katanya.

-- BERNAMA

No comments: